Terima rasuah RM500, bekas inspektor polis didenda RM7,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas inspektor polis didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah RM500 pada April 2015.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah memerintahkan Mohamad Hilmi Abd Hamid, 39, menjalani hukuman penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mohamad Hilmi dituduh melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta di depan Kedai Makan Cili Merah, Kampung Ceruk Bemban, Kupang di Baling pada jam 3.45 petang 17 April 2015 ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam S Parameswaran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan iaitu denda tanpa penjara atas alasan tertuduh, yang kini pekerja swasta, adalah pencari nafkah tunggal keluarga serta mempunyai dua anak berumur 10 dan 13 tahun.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah, Mohamad Fauzee Azizan pula memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada masyarakat kerana perbuatan menerima rasuah satu kesalahan serius.

Mohamad Hilmi membayar denda itu. - Bernama