'Masalah rakyat lebih penting berbanding pelekat cukai jalan'

Roslan Shahir (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.)
Roslan Shahir (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor menempelak Kerajaan Perpaduan yang didakwa lebih mengutamakan keperluan tidak penting berbanding menangani masalah bahan mentah dan keperluan utama rakyat.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kerajaan wajar selesaikan perkara lebih penting bagi membantu rakyat berbanding pembaharuan cukai jalan dan lesen digital.

"Isu telur, minyak petrol yang tak turun-turun, harga sayuran yang naik, kos hidup yang membebankan, kenapa cukai jalan dan lesen digital yang diutamakan.

"Banyak lagi isu lebih kritikal yang belum selesai dan perlu ditangani segera berbanding pelekat cukai jalan dan lesen memandu digital," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kepentingan pembaharuan cukai jalan dan lesen digital yang mahu diperkenalkan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

“Yang saya tahu tujuan cukai jalan dipamerkan di kenderaan dengan maksud memudahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan.

“Sekatan jalan raya, kesalahan lalu-lintas dan sebagainya. Kalau ada sekatan jalan raya dan masing-masing terkial-kial dan buka aplikasi dalam telefon,” katanya.

Roslan turut mempertikaikan kaedah tersebut yang hanya menimbulkan lebih banyak masalah daripada memudahkan urusan.

“Selesailah yang patut diselesaikan. Jangan cakap lain buat lain. Rakyat makin bosan dengan kerajaan campuran ini,” katanya.

Bermula Jumaat, orang awam tidak perlu lagi memaparkan lesen kenderaan motor (LKM atau ‘roadtax’) pada kenderaan sebaliknya menggunakan mod paparan digital.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, inisiatif itu bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini.

Beliau berkata, orang awam boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.