Rokok seludup RM400,000 ditinggal atas jalan

3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000 yang dijumpai di atas jalan.
3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000 yang dijumpai di atas jalan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis merampas 3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000 yang dijumpai di atas jalan di laluan pantai berhampiran sebuah sekolah di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, rokok yang diletakkan di dalam 68 kotak besar itu ditemukan sepasukan polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu yang menjalankan ‘Op Kontraban’ di sekitar laluan pantai di belakang sekolah berkenaan pada jam 2 pagi.

"Apabila sampai ke kawasan tersebut, pasukan operasi telah melihat sejumlah kotak besar di atas jalan.

"Pemerhatian telah dibuat dari jarak 50 meter selama lebih kurang dua jam dan didapati tiada orang yang datang mengambil kotak tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Rohaimi berkata, pihak polis percaya sindiket yang terlibat telah menggunakan khidmat tonto untuk memerhati pergerakan pasukan operasi.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000. - Bernama