Malaysia, ASEAN rangka MoU tangani penipuan dalam talian

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan beberapa negara rantau ASEAN lain sedang merangka perjanjian memorandum persefahaman (MoU) untuk seragamkan protokol dan kawal selia bagi menangani penipuan dalam talian termasuk tawaran pekerjaan di luar negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, melalui MoU itu ia akan memudahkan siasatan dan tangkapan dibuat sekiranya berlaku sindiket sedemikian.

"Saya ada bertemu dengan rakan sejawat daripada beberapa negara Asean, di mana sebelum ini kita telah tandatangan dan wujudkan kerjasama dengan Singapura (tangani penipuan dalam talian).

"Kini ada beberapa negara lain termasuk Brunei, Jepun, Filipina dan Kemboja serta Thailand juga minta untuk (terlibat) dalam membangunkan MoU.

"Jadi, kita lihat hampir kesemua negara ASEAN ini wujud keinginan untuk menyeragamkan beberapa protokol, kerangka kawal selia untuk memudahkan siasatan atau penangkapan bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti penipuan ini," katanya pada sidang akhbar Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pejabat Parlimen Lembah Pantai 2023 di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta ditanya mengenai langkah yang diambil kementeriannya bagi menangani sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara yang banyak menggunakan medium media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menegaskan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperketat undang-undang bagi mengelak rakyat Malaysia daripada diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk memperketat undang-undang.

Sementara itu, Fahmi dalam masa sama turut memaklumkan kementeriannya akan meneliti kembali Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pihak yang terlibat dengan penipuan dalam talian ini.

Beliau berkata, ia termasuklah dengan memastikan pelaku atau penjenayah terlibat akan diberkas segera jika didapati menyalahgunakan rangkaian kemudahan tersebut.