Real Madrid ungguli Piala Dunia Kelab

Pemain Real Madrid meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab di Rabat, Maghribi pada Ahad. Foto EPA
Pemain Real Madrid meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab di Rabat, Maghribi pada Ahad. Foto EPA
A
A
A

REAL Madrid merangkul trofi kedua musim ini apabila memenangi Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Al Hilal 5-3 di Maghribi awal pagi Ahad.

Pada aksi di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat itu Vinicius Junior dan Fede Valverde masing-masing meledak dua gol.

Pemain sensasi, Karim Benzema yang baru pulih daripada kecederaan turut meledak membolosi gawang lawan dari Arab Saudi itu.

Trofi itu merupakan yang kedua buat skuad bimbingan Carlo Ancelotti selepas memenangi Piala Super Eropah Ogos lalu.

"Kami amat gembira. Madrid adalah juara dunia. Ia adalah apa yang kami perlu lakukan," ujar Ancelotti.

Madrid layak ke kejohanan itu sebagai pemenang Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, menampilkan kualiti serangan yang sukar dikekang kelab Asia itu.

Ia turut menebus kekecewaan mereka dalam kempen La Liga setelah ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona yang turut menewaskan Madrid dalam final Piala Super Sepanyol pada Januari.

Madrid memegang rekod kemenangan paling banyak dalam kejohanan antara benua itu selepas memenangi Piala Intercontinental - perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan - pada 1960, 1998 dan 2002, yang kemudian digabungkan dengan Piala Dunia Kelab pada 2005.

"Ia perlawanan yang bagus. Saya rasa barisan depan kami sangat hebat. Vinicius, Karim dan Valverde menghasilkan gol.

"Kualiti pasukan yang bagus," kata Ancelotti.

Ancelotti kembali memasukkan Benzema dalam kesebelasan utama selepas dia terlepas aksi separuh akhir menenang Al Ahly akibat kecederaan paha

Penyerang 35 tahun itu mencetus gol pembukaan Vinicius dengan hantaran pendek yang dimanfaatkan pemain sayap Brazil itu.

Selepas menjadi mangsa perkauman, Vinicius menikmati malam gemilang di Maghribi, menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan Madrid serta dinobatkan pemain terbaik kejohanan.