MCA Sabah tak pernah terlibat gulingkan Hajiji

Yen Tung dan Hajiji
Yen Tung dan Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - MCA Sabah tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kata Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Beliau dalam pada itu mengulangi pendirian bahawa sokongan terhadap kepimpinan Hajiji sama seperti yang diputuskan dalam bermesyuarat parti itu pada 11 Januari lalu dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada Sabtu.

"Kerajaan Sabah yang dibentuk oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telahpun berjanji untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di peringat Persekutuan.

"MCA Sabah juga berpendirian sama dengan MCA Pusat yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, ia selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Jawatankuasa Pusat Parti telah memberikan MCA Sabah autonomi yang lebih besar.

"MCA Sabah akan menggunakan kuasa autonomi ini untuk memainkan peranan sendiri dalam politik tempatan Sabah secara aktif bagi menjaga kepentingan dan hak rakyat Sabah.

"MCA Sabah juga menyeru semua rakyat Sabah agar mengetepikan perbezaan dan terus kekal bersatu di bawah pimpinan Ketua Menteri untuk menggalakkan pembinaan dan pembangunan negeri supaya Sabah boleh bergerak ke arah kemakmuran dan kemajuan," katanya.

Sebelum ini, kemelut politik melanda Sabah apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, usaha untuk menjatuhkan Hajiji gagal apabila beliau mendapat 44 sokongan menerusi Akuan Bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.