ReDI tangani isu orang tengah, kenaikan harga barang

Salahuddin menyampaikan replika Program Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Ting Han (kiri) sempena Majlis Pelancaran ReDI Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu
Salahuddin menyampaikan replika Program Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Ting Han (kiri) sempena Majlis Pelancaran ReDI Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) adalah satu mekanisme ekonomi digital bertujuan meminimakan isu orang tengah dan kartel dalam usaha menangani kenaikan harga barang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi mekanisme itu pengguna akan dapat akses secara langsung produk yang dikeluarkan daripada kilang.

"Walaupun saya faham dan dimaklumkan bahawa ia akan mengambil masa, kementerian terus melangkah ke hadapan dalam usaha untuk kita memerangi isu orang tengah dan juga kartel," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pelancaran ReDI ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif pengembangan sektor perniagaan yang menjadi teras utama kementerian.

Program itu katanya, telah berjaya dilaksanakan secara rintis di Putrajaya, Hulu Terengganu, Terengganu; Kapit, Sarawak; Pulau Pangkor, Perak; Labuan; Sandakan, Sabah; Kuala Perlis, Perlis dan Bera, Pahang.

Beliau memberitahu, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 8,479 peniaga luar bandar telah beralih kepada medium digital.

Jelasnya, ia kini diperluas ke negeri ini dengan menyasarkan kepada 233 peniaga Kipmall dan 120 peniaga Pasar Awam Perling.

Inisiatif itu jelasnya, bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga aspek iaitu mudah, cepat dan selamat.

"Kita menyasarkan seramai 15,000 peniaga dan penjaja seluruh negara berdaftar di bawah Program ReDI menjelang 2025," ujarnya.