Cukai jalan: Pemandu berusia pilih tampal LKM lebih mudah ingat

Mustafa (tengah), Husni (kanan) dan seorang lagi pengguna, Shamsudin Daud, 65, mencuba memuat naik MyJPJ.
Mustafa (tengah), Husni (kanan) dan seorang lagi pengguna, Shamsudin Daud, 65, mencuba memuat naik MyJPJ.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengguna kenderaan persendirian berusia 50 tahun dan ke atas memilih kaedah lama untuk kekal menampal pelekat cukai jalan pada cermin kenderaan masing-masing bagi memudahkan mereka mengingati tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM - pelekat cukai jalan) itu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan kampung di sekitar negeri ini mendapati mereka masih belum memuat naik aplikasi khas MyJPJ terbabit.

Seorang daripada mereka, Mustafa Dollah, 71, yang juga bekas petani berkata, disebabkan usianya sudah lanjut menyebabkan dia kerap terlupa tarikh tamat tempoh LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) miliknya.

“Kalau ada pelekat di cermin, bolehlah selalu tengok dan sambung bayar cukai jalan yang tamat tempoh. Kalau simpan salinan kertas sahaja mungkin boleh terlupa pula dimana diletakkan nanti.

“Telefon bimbit ini hanya digunakan untuk hubungi anak-anak sahaja. Kalau nak guna lebih-lebih untuk bermesej atau mengisi borong secara dalam talian, memang tak pandai dan mata pun dah tak nampak,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Bapa kepada lima anak itu turut mengakui masalah rabun selain kurang mahir menggunakan teknologi telefon pintar menyebabkan dia belum memuat naik aplikasi LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM).

Bagi pekerja kilang, Shahrudin Husin, 54, pula berkata, jika diberi pilihan, dia mahukan kaedah lama dikekalkan dan mengharapkan kelonggaran khas diberikan terutama kepada golongan buta teknologi untuk terus berbuat demikian.

“Kami sambung cukai jalan melalui ejen, semua mereka uruskan. Pagi bagi duit, petang dah boleh ambil.

“Susah kalau nak berurusan secara dalam talian terutama kepada mereka yang hanya bekerja kampung kerana perbankan dalam talian pun tak ada kalau membabitkan urusan bayaran dan sebagainya,” katanya.

Sementara, peniaga kedai makan, Husni Abdullah, 59, mempunyai pendapat berbeza dan menyambut baik saranan terbaharu kerajaan berhubung usaha terbabit.

Husni menunjukkan MyJPJ yang berjaya dimuat naik di telefon bimbitnya.
Husni menunjukkan MyJPJ yang berjaya dimuat naik di telefon bimbitnya.

“Tak perlulah pelekat sebab boleh mengganggu sesetengah orang yang tidak suka ada tampalan pada cermin kenderaan.

“Saya sendiri tidak terlalu mahir teknologi tetapi boleh buat dengan perlahan-lahan dan mengambil masa lebih setengah jam untuk mendaftar dalam aplikasi MyJPJ.

“Sekali siap daftar, tak dapat nak tengok cukai jalan sebab kereta pula atas nama isteri,” ujarnya.

Bermula Jumaat, warganegara boleh menggunakan mod paparan e-LKM dan e-LMM melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman.