'Saya tak bergaduh cuma berbeza pendapat'

Annuar (empat dari kanan) bersama Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) selepas Program Wacana Muafakat Nasional pada Jumaat.
Annuar (empat dari kanan) bersama Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) selepas Program Wacana Muafakat Nasional pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya tak bergaduh cuma berbeza pendapat dengan sesetengah pemimpin UMNO," kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini dipecat daripada parti itu

Menurutnya, prinsip politik beliau iaitu berkata benar dan berpandukan agama serta patuh syariat.

Bagaimanapun katanya, ada hikmah di sebalik pemecatan berkenaan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipengerusikan itu kini mencecah lebih 30,000 ahli dari seluruh negara.

"Ada yang mahu saya menyokong Pas tetapi saya masih berat hati. Saya mahu melihat negeri dan negara menjadi maju," katanya ketika menjadi ahli panel program Wacana Muafakat Nasional pada Jumaat.

Tiga lagi ahli panel ialah Ahli Dewan Tertinggi MN, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pendakwah dan Penceramah bebas, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Annuar memberitahu, beliau tidak bertanding atas tiket bebas selain enggan berpolitik dengan membawa MN sebagai sebuah parti sebaliknya bertujuan mengumpulkan seberapa ramai ahli dalam sebuah NGO.

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan menyokong parti yang membela Islam dan menyatupadukan orang Melayu.

"Kalau ambo (saya) sudah sertai sesuatu parti itu, ambo mahu ajak adik kakok yang kenal ambo untuk sertai. Tunggu kita bagi nama, kalau mahu ambo lawan tak kira siapalah, siapa yang turut (ikut) ambo ayuh kita sama-sama lawan," ujarnya.

Annuar sebelum ini pernah memaklumkan tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan orang Melayu sebaliknya memilih parti yang menyatu padukan umat Islam, jujur dan tiada penyalahgunaan kuasa.