Pasar terapung Pulau Tengah, tarikan baharu di Kelantan

Pasar terapung yang beroperasi secara rasmi pada Jumaat itu mempunyai 20 perahu menyajikan pelbagai menu tempatan kepada pengunjung. Gambar kecil: Azli Mohd Noor
Pasar terapung yang beroperasi secara rasmi pada Jumaat itu mempunyai 20 perahu menyajikan pelbagai menu tempatan kepada pengunjung. Gambar kecil: Azli Mohd Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pasar terapung di Pulau Tengah, Kubang Kerian di sini menjadi tarikan pelancongan baharu sekali gus menyaksikan orang ramai tidak lagi perlu ke Thailand untuk merasai suasana tersebut.

Pasar terapung yang beroperasi secara rasmi pada Jumaat itu mempunyai 20 perahu menyajikan pelbagai menu tempatan kepada pengunjung bermula jam 3 petang hingga 7 malam setiap Jumaat dan Sabtu.

Lebih menarik lagi, orang ramai dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan berjalan di atas jeti terapung sepanjang 800 meter.

Terdapat pelbagai aktiviti air boleh dilakukan di sini seperti menaiki bot, jet ski, perahu dayung dan sebagainya.

Pasar terapung ini merupakan projek khidmat sosial yang dibawakan oleh Abam Peah Holdings Sdn Bhd untuk membantu penduduk setempat menjana pendapatan.

Pengarahnya, Azli Mohd Noor berkata, modal RM100 turut diberikan kepada setiap peserta selain kemudahan perahu percuma.

Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke pasar terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian, Kota Bharu yang mula beroperasi pada Jumaat.
Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke pasar terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian, Kota Bharu yang mula beroperasi pada Jumaat.

"Tempat ini cantik, selain pemandangannya pada sebelah siang, orang ramai juga boleh menikmati keindahan kunang-kunang di sebelah malam.

"Saya melihat ia berpotensi untuk dijadikan lokasi pelancongan, disebabkan itu pasar terapung ini diadakan. Ia merupakan salah satu daya tarikan kepada orang ramai untuk datang ke sini," katanya.

Beliau berharap, pihak kerajaan dapat membangunkan kawasan tersebut sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri Kelantan.

Peniaga laksa lemak dan dadih, Faizal Ghazali, 40, memberitahu, dia sangat teruja diberikan peluang berniaga menggunakan konsep pasar terapung.

"Ramai yang inginkan suasana ini apabila jualan saya tidak sampai dua jam habis dijual," ujarnya.

Pemandangan indah pasar terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian di Kota Bharu.
Pemandangan indah pasar terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian di Kota Bharu.

Sementara itu, peniaga lemang, Azmer Abdul Aziz, 32, berkata, orang ramai tidak perlu pergi jauh sehingga ke Hatyai untuk merasai suasana pasar terapung.

Tambahnya, selain pemandangan cantik, terdapat beraneka jenis makanan yang dijual, serta aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga di sini.