Gempa bumi Turkiye: Bencana terburuk dalam sejarah - Erdogan

Sekurang-kurangnya 18,991 orang terbunuh dan 75,523 yang lain cedera sejak dua gempa bumi pada Isnin. Foto Xinhua
Sekurang-kurangnya 18,991 orang terbunuh dan 75,523 yang lain cedera sejak dua gempa bumi pada Isnin. Foto Xinhua
A
A
A

ANKARA - Turkiye dilanda satu bencana terburuk dalam sejarah negara, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat, merujuk kepada gempa bumi kuat yang melanda negara ini.

"Sebagai sebuah negara, kita sedang menghadapi satu bencana terbesar dalam sejarah negara kita,” kata Erdogan semasa meninjau usaha mencari dan menyelamat dan bertemu dengan mangsa gempa bumi di wilayah Adıyaman.

Beliau berkata, kemusnahan 'serius' berlaku di 10 wilayah, lapor Agensi Anadolu.

Erdogan berkata, sekurang-kurangnya 18,991 orang terbunuh dan 75,523 yang lain cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras melanda selatan Türkiye pada Isnin.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 itu menjejaskan lebih 13 juta penduduk di 10 wilayah itu termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Erdogan berikrar akan membina semula wilayah selatan itu dan ia akan menjadi antara agenda penting di bawah pelan setahun kerajaan.

"Kita akan pastikan rakyat yang tidak mahu tinggal di khemah dapat berpindah ke kediaman dan kita akan menangung bayaran sewa selama setahun,” kata beliau

Selain itu, beliau menyeru rakyat agar tidak memberi pujian kepada mereka yang mahu mengambil peluang untuk menyalahgunakan perpaduan dan solidirati.

Beliau turut dijadual melawat wilayah Malatya. - Bernama