Singapura teliti cadangan kembalikan semula projek HSR bersama Malaysia

 Singapura bersedia meneliti semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan kerajaan Malaysia.
Singapura bersedia meneliti semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan kerajaan Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Singapura bersedia meneliti semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan kerajaan Malaysia.

Menteri Kedua Hal Ehwal Luar republik itu, Dr Mohamad Maliki Osman berkata, pihaknya akan membuka lembaran baharu bagi melihat sebarang cadangan daripada Malaysia untuk memulihkan operasi HSR itu.

“Jika anda tahu sejarahnya, cadangan dan persetujuan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi berkenaan dihentikan berikutan sebab-sebab yang telah dinyatakan sebelum ini.

“Kami sedang menunggu dan bersedia dengan sebarang cadangan yang mungkin dikemukakan dari Malaysia. Kami akan lihat apakah cadangan tersebut serta perkara yang ingin mereka pertimbangkan,” katanya kepada media semasa Program Lawatan Wartawan Malaysia ke-15, di Singapura, pada Jumaat.

Maliki juga menambah, terdapat cadangan dari Malaysia tentang menghidupkan semula HSR dan republik berkenaan sebelum ini telah menyatakan bahawa ia bersedia untuk menelitinya.

Projek kereta api untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura itu pertama kali dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong secara rasmi bersetuju untuk menjalankan projek bersama itu pada 2013 dengan jangkaan siap pada asalnya menjelang 2026.

Projek besar yang mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Malaysia dari empat jam kepada 90 minit itu bagaimanapun terhenti pada 1 Januari 2021 apabila kedua-dua negara mengumumkan penamatan projek itu secara bersama.

Ia selepas kedua-dua pihak tersebut gagal mencapai persetujuan berhubung perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum persetujuan projek melibatkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu luput pada 31 Disember 2020.