Datuk Seri didakwa guna invois palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat perumahan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu, tiga tahun lalu.

Chin Kok Foong, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nadia Othman.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh menggunakan suatu dokumen yang diketahui palsu iaitu invois bertarikh 28 September 2019 dan 5 Mei 2020 milik sebuah syarikat, pada awal Oktober 2020 di Jalan Stesen Sentral 2, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan P Nom Phot tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan merayu agar diberikan ikat jamin pada kadar yang rendah.

"Dia perlu menjaga bapa, isteri dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.