Skandal vaksin Covid-19: KKM tubuh pasukan kerja

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan skandal perolehan vaksin Covid-19 yang didedahkan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

"Kertas Putih ini akan meneliti tata cara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ia berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan 'due diligence' secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.

"KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan," katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan perolehan dan kos vaksin Covid-19 yang dibuat sebelum ini tidak mengikuti peraturan.

Katanya, perolehan bagi vaksin itu ditandatangani oleh menteri tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara (AG).