Cuaca pengaruhi lontaran Ziyad di Tunisia

Muhammad Ziyad mendominasi acara lontar peluru lelaki F11/12/20 GP Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia.
Muhammad Ziyad mendominasi acara lontar peluru lelaki F11/12/20 GP Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia.
A
A
A

JURULATIH atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohd Faizol Harun menyifatkan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Olahraga Rades, Tunisia, pentas anak buahnya memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

Jelasnya, pengalaman di Tunisia juga sebagai persediaan bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei depan.

“Jika ditanya mengenai prestasi pula, sejujurnya pada saya keputusan yang diraih Ziyad di Tunisia kurang memuaskan.

“Namun saya faham keadaan cuaca sejuk dan hujan banyak mempengaruhi untuk Ziyad menghasilkan corak lontaran yang bagus.

“Semalam cuaca di bawah 10 darjah Celsius dengan hujan dan angin kuat lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Kontinjen negara melabuh cabaran GP Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia dengan meraih tiga emas dan satu perak.

Dua pingat emas terakhir negara dijelmakan atlet lompat jauh, Datuk Abdul Latiff Romly dan Muhammad Ziyad.

Abdul Latiff mengungguli acara lompat jauh lelaki T13/20 dengan lompatan 6.90 meter (m) mengatasi peserta Arab Saudi, Hassan Dawshi (6.08m) dan Mohamed Camara (Guinea-Bissau, 5.12m).

Sementara itu, Muhammad Ziyad mendominasi acara lontar peluru lelaki F11/12/20 dengan catatan

15.93m diekori atlet Uzbekistan, Elbek Sultonov (14.16m) dan Amir Soltane dari Tunisa (10.51m).

Terdahulu, emas pertama negara disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter (m) lelaki T35/36 (kecacatan fizikal) dengan catatan 12.51 saat.

Sementara itu, pingat perak negara dihasilkan Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, bagi acara 100m T11/12 lelaki (masalah penglihatan).

GP Olahraga Para Dunia 2023 seterusnya dijadualkan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Februari hingga 1 March depan.