Malaysia menanti emas sulung Olimpik

No Image Caption
A
A
A

MENGHITUNG detik menuju Sukan Olimpik Paris 2024 berbaki 532 hari lagi. Temasya sukan terbesar dunia itu akan berlangsung selama 17 hari bermula 26 Julai hingga 11 Ogos dan dijangka menghimpunkan lebih 10,000 atlet dari seluruh pelosok muka bumi.

Memasang impian untuk memenangi pingat emas sulung buat negara memang indah. Biarpun sukar namun tidak mustahil tetapi kita perlu realistik. Ibarat mengukur baju di badan sendiri tetapi dengan semangat Malaysia Boleh!

Menerusi tekad yang kuat, keyakinan tinggi, mentaliti juara, latihan bersistematik, strategi ampuh dan sokongan padu satu Malaysia, impian itu mampu digapai.

Disulam dengan sokongan kerajaan dan semangat juang atlet, impian untuk menyaksikan nyanyian lagu Negaraku berkumandang di bumi Perancis mampu direalisasikan.

Malah, misi memecah kebuntuan emas di Olimpik bukan lagi menjadi impian atlet dan rakyat Malaysia, sebaliknya misi kerajaan seperti cabaran yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mahu sekurang-kurangnya kita kena capai satu pingat emas pada Sukan Olimpik akan datang.

“Ini cabaran saya kepada Menteri (Belia dan Sukan), Hannah Yeoh dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia,” tegas Anwar.

Apabila menyentuh sasaran emas sulung Olimpik, atlet perlu berada pada tahap prestasi tertinggi dan bagi mencapainya, mereka perlu melalui proses persediaan rapi yang sudah tentu menelan kos yang besar.

Ia antara lain akan melibatkan fasiliti, kos logistik, latihan di luar negara, pendedahan pertandingan di pentas antarabangsa, penggunaan teknologi dan sains sukan.

Kerajaan prihatin dengan perkara tersebut dan Perdana Menteri sudah memberikan komitmen untuk membantu serta memberi sokongan.

“Bagi pihak kerajaan, mesti ditambah usaha dan kemudahan yang lebih baik, atlet pula tingkatkan usaha,” ujar Anwar.

Jadi, menjelang pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada 24 Februari, Perdana Menteri boleh berkira-kira menyediakan peruntukan khas untuk misi wajib emas Olimpik.

Memahami senario ekonomi negara dan kemungkinan pengurangan peruntukan dalam bajet tersebut, mungkin ada jalan lain yang boleh dirintis.

Situasi menang-menang boleh dipraktikkan menerusi perkongsian strategik antara kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan serta badan korporat.

Kerjasama pintar boleh dibuat menerusi pemberian insentif cukai menarik bagi mendorong sektor swasta melabur dalam industri sukan, khususnya projek emas Olimpik.

Misi tersebut bukan berkaitan peruntukan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan elemen lain kerana masa sudah suntuk buat kontinjen negara – berbaki 17 bulan.

Atlet-atlet padat dengan jadual latihan dan penyertaan di pelbagai kejohanan, namun paling penting adalah mereka wajib meraih tiket untuk layak terlebih dahulu sebelum memikirkan emas Olimpik.

Bukan mahu mematahkan semangat atlet kerana emas bukan percuma, sebaliknya menuntut pengorbanan besar yang sewajarnya dihargai oleh semua pihak.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah meniupkan semboyan ‘perang’ mencabar rakan-rakan atlet untuk bersamanya sebagai sandaran memenangi emas sulung negara.

Walaupun bakal menginjak ke usia 36 tahun, pelumba yang berasal dari Terengganu itu bertekad sekali lagi untuk memikul tanggungjawab bagi merealisasikan impian tersebut, sambil mengajak atlet muda menggalas cabaran besar negara.

“Saya sahut cabaran dan tanggungjawab (sandaran memenangi emas Olimpik Paris) memandangkan saya antara atlet paling senior.

“Tetapi kita tidak boleh ghairah meletakkan harapan kepada saya seorang sahaja. Sudah tiba masanya kita juga perlu meletakkan harapan kepada pelumba atau atlet muda daripada sukan lain,” katanya.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman hampir memecah kebuntuan emas dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 2021.

Kontinjen negara beberapa kali hampir meraih emas bermula Sukan Olimpik Atlanta pada 1996 menerusi pasangan badminton, Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock, namun terpaksa berpuas hati dengan perak.

Kejayaan juga hampir digapai oleh jaguh perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei menerusi tiga edisi Olimpik 2008, 2012 dan 2016 tetapi hampa.

Enggan skrip kecewa berulang, ayuh jagoan negara bangkit! Ini kalilah, emas sulung Olimpik di Paris tahun depan.

* Ahmad Syahir Kassim ialah wartawan Sukan Sinar