Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf pada Anwar

Razman (kanan) dan Anwar
Razman (kanan) dan Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak berhubung kes saman fitnahnya, pada Khamis.

Saman berkenaan ialah berhubung ucapan yang mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan itu dengan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Razman membacakan kenyataan permohonan maaf itu secara terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin.

Menurutnya, ucapan yang dibuat pada 6 November tahun lepas telah menyinggung perasaan dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.

“Saya ingin menzahirkan bahawa ungkapan saya itu mencetuskan keburukan moral dan menjejaskan reputasi baik Anwar sehingga mengundang rasa malu dan kesusahan yang teruk.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya,” katanya.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunong Semanggol mengaku kesal dan berjanji tidak akan mengulangi ungkapan berkenaan dalam apa jua bentuk atau cara di masa hadapan.

Mendengar perkara itu, mahkamah kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.

Dalam prosiding tersebut, Anwar diwakili peguam Datuk SN Nair, Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala Razman oleh peguam, Datuk Naran Singh.

Nair ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa anak guamnya telah menerima permohonan maaf berkenaan.

Pada 5 Disember lepas, Anwar selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Razman, selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar berkata pada 6 November tahun lalu, defendan berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur.

Beliau berkata, ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan, yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga Januari lalu.

Menurut Presiden PKR itu, siaran video langsung Facebook tersebut kemudian diterbitkan menerusi artikel bertarikh 6 November 2022 dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, di dalam sebuah portal berita.