Gempa bumi Turkiye: Status Atsu cetus tanda tanya

Atsu. - Foto Agensi
Atsu. - Foto Agensi
A
A
A
STATUS Christian Atsu pemain kelab Turkiye, Hatayspor yang didakwa terlibat dalam kejadian gempa bumi di negara itu Isnin lalu masih mencetuskan misteri.

Jurulatihnya, Volkan Demirel memberitahu bahawa pemain tengah Ghana itu belum ditemui.

“Saya tiada berita baik, masih belum menemuinya di bawah runtuhan,” ujar Demirel kepada AFP.



Bagaimanapun pada Selasa, Persatuan Bolasepak Ghana (GFA) berkata, Atsu berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan dan menerima rawatan di hospital.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.8 melanda Turkiye dan negara jiran, Syria awal pagi Isnin.

Dalam pada itu, ejen Atsu, Gaynor Frascione pula bimbang dengan keselamatan pemain berkenaan.

“Saya tidak tahu. Semua orang cuba mengesan di mana pusat perubatan dia mungkin berada.

“Ada juga 18 pelajar Ghana dalam bangunan itu. Duta di Turkiye berkata dia telah diselamatkan. Doktor sudah membuat kenyataan, tapi keadaan benar-benar kecoh,” katanya.

Atsu, 31, menghabiskan empat musim di Chelsea sebelum berpindah ke Newcastle pada 2017 hingga 2021.

Dia kemudian berhijrah ke Arab Saudi menyertai kelab Al-Raed pada 2021 sebelum berpindah ke Super Liga Turkiye tahun lalu untuk beraksi bersama Hatayspor yang berpangkalan di wilayah selatan, Hatay berdekatan pusat gempa itu.