RM2.6 juta kerugian akibat jenayah komersial di Pahang

Ramli (tengah) menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara Abdul Razak (kiri) dan pemangku, Noor Hisam dalam satu majlis di IPK Pahang pada Khamis
Ramli (tengah) menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara Abdul Razak (kiri) dan pemangku, Noor Hisam dalam satu majlis di IPK Pahang pada Khamis
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan 119 kes membabitkan jenayah komersial dengan jumlah kerugian RM2.6 juta sepanjang Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada keseluruhan kes itu, lebih 80 peratus melibatkan penipuan dalam talian.

Menurutnya, antara kes paling tinggi melibatkan penipuan pembelian dalam talian, tawaran kerja sambilan tidak wujud dan Macau Scam.

"Kes melibatkan penipuan dalam talian dijangka terus meningkat memandangkan masih ada yang kurang peka dengan isu ini sehingga hampir setiap hari ada yang menjadi mangsa di negeri ini.

"Situasi ini agak mengecewakan apabila mangsa yang terlibat juga terdiri dalam kalangan profesional dan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin (pemangku) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Ramli berkata, ada kes melibatkan seorang guru wanita yang kerugian RM233,480 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

"Dalam kes ini, mangsa bukan sahaja menggunakan wang simpanan malah turut membuat pinjaman bank kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana ditakutkan dengan dakwaan terlibat dengan jenayah berat," katanya.

Tegas beliau, polis tidak sesekali menggunakan kaedah panggilan dalam prosedur siasatan begitu juga dengan agensi lain.

"Sekiranya menerima panggilan kononnya terlibat atau dikehendaki atas kes jenayah dari individu menyamar sebagai polis, segera abaikan panggilan dan jangan sesekali melayan.

"Pada masa sama jangan rahsiakan perkara itu sebaliknya kongsi dengan orang terdekat atau menghubungi pihak polis untuk membuat pengesahan," jelasnya.

Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyerahkan akaun bank kepada pihak tidak dikenali kerana kemungkinan ia akan digunakan sindiket bagi tujuan penipuan.

"Bayaran yang ditawarkan antara RM400 hingga RM500 tidak berbaloi dengan tindakan undang-undang ke atas mereka jika tertangkap," katanya.