UMNO belum terima surat rayuan Hishammuddin, Maulizan

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] UMNO belum menerima sebarang surat rayuan daripada Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Datuk Maulizan Bujang yang kini digantung keahlian selama enam tahun susulan pembersihan parti baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya terdapat permohonan rayuan, beliau akan menerimanya.

"Setakat ini saya tidak terima," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, surat rayuan yang diterima sekiranya ada akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan.

"Saya akan serahkan kepada lembaga untuk menelitinya," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai UMNO Johor yang mahu bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan bekas Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkat,a keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO negeri, Sabtu lalu.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Maulizan pula digantung keahlian selama enam tahun.

Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama digantung keahliannya, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.