Habuan RM1 juta menanti pemain Al-Hilal

Al-Hilal berjaya menyingkirkan cabaran juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 dalam aksi separuh akhir pada Rabu.
Al-Hilal berjaya menyingkirkan cabaran juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 dalam aksi separuh akhir pada Rabu.
A
A
A

KEJAYAAN mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab menyaksikan gergasi Arab Saudi, Al-Hilal bakal menerima habuan 1 juta riyal (RM1.14 juta) selepas persembahan luar biasa di kejohanan tersebut.

Habuan itu dinyatakan Pengerusi Kingdom Holding Co, Putera Alwaleed bin Talal di laman media sosialnya kepada setiap pemain Al-Hilal yang menyingkirkan cabaran juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 dalam aksi separuh akhir pada Rabu.

Malah Putera Alwaleed yang juga penyokong setia Al-Za'eem turut menjanjikan jumlah habuan yang sama sekiranya Al-Hilal berjaya menewaskan juara Eropah yang juga gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid dalam perlawanan akhir.

Real Madrid kendalian Carlo Ancelotti mara ke perlawanan akhir selepas membelasah juara Afrika dari Mesir, Al-Ahly 4-1 dalam aksi separuh akhir pada Khamis.

Selain itu, saluran sukan Arab Saudi SSC melaporkan bahawa setiap pemain Al-Hilal akan mendapat 500,000 riyal (RM574,000) daripada menteri sukan negara itu untuk kemenangan ke atas jagoan Brazil tersebut.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama kelab Arab Saudi mara ke final Piala Dunia Kelab.

Kejayaan itu diraikan oleh kerajaan negara itu sebagai satu lagi pencapaian kompetitif selepas kemenangan pasukan kebangsaan menentang Argentina pada Piala Dunia November lalu.