BISA pemangkin masa depan PKS

Ameer Ali
Ameer Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) dilihat mampu meningkatkan semangat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, melalui anugerah, pemain industri PKS akan lebih berdaya saing secara sihat dan memberikan perkhid-matan terbaik dalam perniagaan yang dilakukan.

“Apabila dapat satu anugerah, ia akan menjadi motivasi kepada PKS untuk melangkah lebih jauh.

“Paling penting, mengendalikan anugerah pertama ini. Jadi, saya harap BISA dapat memilih PKS yang selayaknya. Anugerah ini mampu menjadikan PKS lebih bekerja keras demi masa hadapan yang baik.

“Kita tahu sekarang ini (anugerah) memang banyak tetapi tidak banyak yang disediakan untuk industri PKS. Sebelum ini, anugerah biasanya diberi kepada syarikat besar yang mana mereka tidak memerlukannya lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, melalui anugerah juga PKS akan lebih menghargai dan menyedari ke-pentingan industri mereka terhadap ekonomi negara.

“Mydin sendiri bermula daripada syarikat yang kecil. Kami bermula di kaki lima, kedai kecil dan alhamdulillah sekarang ini semakin berkembang. Kita tidak boleh lupa dari mana kita berasal,” ujarnya.

Ameer Ali turut menasihati golongan PKS agar fokus kepada satu objektif, mengutamakan kualiti dan jangan kerap menukar konsep perniagaan.

Mengulas mengenai pengiktirafan yang beliau terima menerusi BISA, Ameer Ali menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab yang berat.

Menurutnya, penerimaan anugerah bukanlah sekadar satu trofi, malah ia menjadi pemangkin semangat untuk beliau dan ahli yang terlibat melakukan lebih baik pada masa akan datang.

“Inilah tanggungjawab yang kami kena tanggung. Terima kasih kepada Sinar Harian kerana mengiktiraf Mydin. Kami sering melihat ke hadapan untuk berganding bersama. Mydin dan Sinar Harian ada satu misi yang sama iaitu untuk Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut mengakui kolaborasi bersama Sinar Harian yang bermula sejak tahun 2015 telah banyak membantu Mydin untuk mengembangkan perniagaan.

“Kami memilih Sinar Harian sebagai salah satu pilihan untuk mempromosikan segala kempen atau aktiviti kerana akhbar ini sangat proaktif.

“Kami menerima liputan yang baik daripada akhbar ini dan menyiarkan berita-berita yang menepati. Inilah bezanya Sinar Harian dengan (media) yang lain,” katanya.