Fenomena 'brain drain' masih boleh beri manfaat kepada negara

Fadillah berucap pada Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia sempena lawatan kerja rasminya selama tiga hari di sebuah hotel malam Rabu. - Foto: Bernama
Fadillah berucap pada Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia sempena lawatan kerja rasminya selama tiga hari di sebuah hotel malam Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A
JAKARTA - Fenomena brain drain atau penghijrahan pakar di Malaysia boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana kerajaan masih boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk kepentingan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, antara faktor berlakunya brain drain dalam bidang penyelidikan adalah kerana terdapatnya fasiliti dan sistem sokongan yang lengkap di negara lain seperti di Silicon Valley, Amerika Syarikat, yang mampu meningkatkan kepakaran dan potensi.

"Di Malaysia ramai yang pergi ke negara lain terutamanya dalam bidang sains dan teknologi disebabkan tidak ada rantaian nilai keseluruhan yang boleh memberikan keselesaan dan kemudahan kepada mereka.

"Brain drain perlu dilihat dari sudut yang berbeza iaitu bagaimana kita manfaatkan rakyat yang berada di luar agar dapat menyumbang kepada negara. Pada saya kalau ada penghijrahan untuk tujuan tersebut ia adalah sesuatu yang baik,” katanya pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia di sini malam ini, sempena lawatan kerja tiga hari bermula hari ini.

Selain menjadi penghubung antara Malaysia dengan negara tempat mereka berada, Fadillah berkata hasil penyelidikan pakar-pakar ini boleh digunakan di Malaysia.

Terdahulu, Fadillah dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 6.40 petang waktu tempatan (7.40 malam waktu Malaysia).

Esok, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto untuk membincangkan isu-isu berkaitan minyak sawit.

Antara yang dibincangkan termasuk strategi untuk mengatasi Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah dan meneroka cara mengukuhkan kerjasama dalam kalangan anggota Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC). - Bernama