Kerjasama KHM, RTM siar secara langsung liga hoki

Aksi liga hoki akan dapat ditonton secara percuma menerusi siaran televisyen RTM. - Foto FB MHC
Aksi liga hoki akan dapat ditonton secara percuma menerusi siaran televisyen RTM. - Foto FB MHC
A
A
A

PARA peminat hoki berpeluang menyaksikan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 secara percuma menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Khamis hingga 19 Mac.

Siaran secara langsung itu akan menyiarkan 30 perlawanan menerusi saluran TV Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung menerusi platform RTM klik.

Ia akan melibatkan perlawanan MHL, Piala Tun Razak dan Liga Hoki Dalam Dewan.

Penyiaran kejohanan tersebut adalah hasil kerjasama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan RTM yang mula terjalin sejak 2020.

“Matlamat utama jalinan kolaborasi KHM-RTM ini ialah sebagai tanggungjawab sosial, selaku stesen milik kerajaan untuk memberi siaran secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sukan hoki negara dan peminat sukan tanah air,” ujar RTM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, KHM berbesar hati dengan kesudian RTM untuk meneruskan kerjasama menjadi rakan penyiar rasmi MHL bagi musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu percaya bahawa kerjasama itu akan memberikan manfaat kepada pemain-pemain hoki dan peminat sukan hoki tanah air.

“KHM mengucapkan terima kasih kepada RTM yang akan menyiarkan 30 perlawanan secara langsung di stesen televisyen itu dan menerusi penstriman langsung,” katanya.