Kes demam denggi meningkat 249 kes minggu lalu

Orang ramai termasuk pihak sekolah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah peningkatan kes demam denggi.- Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Dr Noor Hisham)
Orang ramai termasuk pihak sekolah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah peningkatan kes demam denggi.- Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Dr Noor Hisham)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 2,159 kes demam denggi bagi tempoh 29 Januari 2023 hingga 4 Februari tahun ini dengan peningkatan 13 peratus sebanyak 249 kes berbanding 1,910 kes pada minggu sebelumnya.

Dua kematian turut dicatatkan bagi tempoh tersebut akibat komplikasi demam berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 11,127 kes iaitu peningkatan 7,554 kes (211.4 peratus) berbanding 3,573 kes bagi tempoh sama tahun 2022.

"Manakala sebanyak enam kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh itu.

"Sebanyak 82 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 45 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (22), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (13) dan Pulau Pinang (dua)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu ujar beliau, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 20 kes bagi 29 Januari 2023 hingga 4 Februari itu dengan 10 kes dari Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (lima), Pulau Pinang dan Pahang masing-masing dua serta Selangor (satu) menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan sehingga kini adalah 72 kes.

Menurutnya, bagi survelan zika, sebanyak 225 sampel darah dan satu sampel urin telah disaring dengan kesemuanya negatif.

Noor Hisham turut menyarankan pihak sekolah dan kontraktor pembersihan untuk melakukan beberapa tindakan bagi mengawal serta menurunkan populasi nyamuk di sekolah semasa cuti akhir sesi ajaran 2022 bermula 17 Februari ini.