Pihak luar tiada hak campur tangan urusan negara

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak luar tiada hak mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Khairul Dzaimee berkata, pengeluaran visa dan pas kepada warga asing untuk tinggal dan bekerja di negara ini, dikeluarkan oleh imigresen sebagai pihak berkuasa.

"Kedutaan asing tidak mempunyai kuasa mengeluarkan apa jua bentuk pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa penempatan warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan, bukan haram.

Tambahnya, fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu itu adalah pendatang asing tanpa Izin (PATI).

"Tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran imigresen melaksanakan operasi membenteras PATI kerana ini adalah tugas hakiki jabatan ini," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang imigresen negara berkenaan.

"Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara," katanya.