Gempa bumi Turkiye, Syria: Angka korban cecah 8,000 orang

Sebuah keluarga memanaskan diri di dalam khemah selepas kediaman mereka ranap dalam kejadian gemoa bumi di Hatay, Turkiye. - Agensi
Sebuah keluarga memanaskan diri di dalam khemah selepas kediaman mereka ranap dalam kejadian gemoa bumi di Hatay, Turkiye. - Agensi
A
A
A

ANKARA - Angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat di tenggara Turkiye dan sempadan Syria pada Isnin lalu sudah melepasi 7,800 orang.

Reuters melaporkan sebanyak 5,894 kematian direkodkan di Turkiye, manakala di Syria lebih 1,900 kematian dilaporkan.

Angka kematian dijangka terus bertambah selepas banyak lagi mayat ditarik keluar dari sisa runtuhan bangunan.

Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa jumlah kematian di kedua-dua negara itu boleh melepasi 20,000.

Ketika ini pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran dan bergelut dengan cuaca sejuk dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang masih terperangkap.

Semalam, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan bagi 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi tersebut.

Agensi pengurusan bencana Turkiye berkata, ia mempunyai 11,342 laporan bangunan runtuh, di mana 5,775 disahkan ranap.

Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye pula berkata dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya 3,400 orang berteduh di dalam kereta api yang digunakan sebagai penginapan kecemasan.

Turkiye kini mengerahkan lebih 24,400 anggota mencari dan menyelamat ke kawasan gempa. - Agensi