Al Hilal cipta sejarah ke final Piala Dunia Kelab

Salem Al Dawsari meraikan jaringannya dalam kemenangan 3-2 ke atas Flamingo pada awal pagi Rabu. - Foto EPA
Salem Al Dawsari meraikan jaringannya dalam kemenangan 3-2 ke atas Flamingo pada awal pagi Rabu. - Foto EPA
A
A
A

SALEM Al Dawsari menjaringkan dua gol sepakan penalti untuk membantu Al Hilal menewaskan Flamengo 3-2, sekali gus mara ke final Piala Dunia Kelab buat kali pertama pada awal pagi Rabu.

Al Dawsari menjaringkan gol pembukaan buat pasukan juara Arab Saudi itu seawal minit keempat perlawanan separuh akhir itu di Stadium Ibn-Batouta selepas Matheuzinho didapati mengasari Luciano Vietto.

Bagaimanapun, Pedro kembali mengikat kedudukan buat Flamengo menerusi penyudah kemasnya pada minit ke-20.

Gerson Santos da Silva menjatuhkan Vietto dalam kawasan penalti dan pengadil, Istvan Kovacs, memberikan sepakan penalti kepada Al Hilal selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) di penghujung separuh masa pertama.

Al Dawsari tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Vietto turut meledak gol pada minit ke-70 bagi memberikan kelebihan selesa buat juara Asia berkenaan.

Tekanan yang diberikan Flamengo pada penghujung aksi menyaksikan Pedro menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu.

Al Hilal akan membuat perhitungan sama ada dengan Real Madrid atau Al Ahly dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung awal pagi Khamis.