Kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen antara agenda Johari

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan menaik taraf Jawatankuasa Pilihan Khas bagi memperkasa Parlimen merupakan antara agenda utama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Johari yang dipilih menjawat jawatan itu pada 19 Disember tahun lepas berkata, beliau dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon pertimbangan kerajaan untuk mengembalikan semula akta itu.

"Perdana Menteri sendiri memberikan sokongan tentang perkara ini. Draf (rang undang-undang) sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan telah memberikan respons, maka kita seterusnya telah hantar kepada Jabatan Perdana Menteri untuk diteliti dan diperhalusi semua aspek termasuk kewangan, perundangan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963, namun ia telah dimansuhkan pada 1992. Akta ini membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya,

Johari yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen kira-kira 15 tahun juga mahu memperkasa peranan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam membantu memperkukuh peranan kementerian.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu boleh mengetengahkan cadangan serta laporan untuk proses semak imbang dan menangani isu yang timbul di kementerian berkenaan.

"Cadangan ini penting kerana mungkin menteri atau kementerian terlepas pandang tetapi jawatankuasa ini mengadakan perbincangan dan mengetengahkan cadangan serta sediakan laporan dan boleh dibahaskan," katanya.

Selain itu, Johari berkata, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 juga diharap dapat ditambah baik termasuk menaikkan kadar denda maksimum RM1,000 kepada RM10,000 terhadap wakil rakyat yang melanggar peraturan ditetapkan bagi mewujudkan Parlimen kelas pertama.

Beliau berkata, di bawah akta itu, kadar denda sedia ada dikenakan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina selain boleh digantung daripada Parlimen.

Sementara itu, Johari berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 dijadualkan bermula 13 Februari ini, dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sesi perbahasan Titah Diraja selama lima hari.

"Saya mengharapkan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja secara aktif dengan tidak mempolitikkan titah Tuanku kerana titah Tuanku adalah hala tuju negara, jadi seharusnya kita menyumbang kepada perjalanan (negara) bukan mempolitikkan suasana,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari.

Menyentuh mengenai kehadiran Ahli Parlimen ke persidangan Dewan Rakyat, Johari mengingatkan wakil rakyat supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan melibatkan diri dalam perbincangan berhubung isu rakyat dan negara.

"Bagi saya, bila kamu dibayar elaun atau gaji tetapi kamu tidak hadir (persidangan Parlimen), itu (maksudnya) makan duit haram,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bakal berlangsung selama 29 hari hingga 30 Mac. - Bernama