Hannah harap lebih ramai pemimpin sukan ikut jejak Hamidin

Hannah (kiri) menganggap Hamidin adalah contoh terbaik sehingga mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa.
FOTO: FB FAM
Hannah (kiri) menganggap Hamidin adalah contoh terbaik sehingga mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa. FOTO: FB FAM
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan betapa pentingnya aspek pengurusan dan pentadbiran dalam bidang sukan bagi menjamin kemajuan serta melakar pencapaian sehingga ke peringkat tertinggi.

Hannah menyifatkan pengurusan dan pentadbiran yang gagal akan memberi impak buruk, sekali gus berupaya menjejaskan sesuatu sukan itu untuk maju ke hadapan.

Beliau juga berharap lebih ramai wakil persatuan sukan di negara menjawat posisi di peringkat global seperti dilakukan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang baru dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Semestinya pengurusan dan pentadbiran sukan sangat penting kerana kalau tiada pengurusan dan pentadbiran yang baik, dana-dana yang dikutip, polisi dan hala tuju untuk sukan itu tidak boleh maju ke depan.

"Jadi saya berharap lebih banyak pengurusan mereka boleh bertanding secara sihat bukan saja di tanah air tetapi seperti Datuk Hamidin yang pergi ke peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran sempena Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Selasa.

Sementara itu, Hannah berkata, beliau melihat minat terhadap bola sepak semakin meningkat dalam kalangan generasi muda dan merancang untuk terus meraih lebih banyak sokongan.

"Kita akan pergiatkan lagi program skrin besar KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk pastikan lebih ramai lagi dapat bersama mengikuti pertandingan bola sepak," katanya.

Dalam pada itu, majlis kesyukuran tersebut berlangsung meriah dengan dihadiri ramai pihak berkepentingan dalam bola sepak tempatan selain barisan bekas pemain dan legenda antaranya Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Khalid Ali.

Sebagai rekod, Hamidin yang berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi penggal lepas, menang perebutan tujuh penjuru untuk lima kerusi (lelaki) Ahli Majlis FIFA bagi Asia untuk tempoh 2023-2027 pada Kongres AFC ke-33 di Manama, Bahrain awal bulan ini.