TNB sasar kejuaraan berganda

Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (kiri) menyerahkan jersi pasukan TNB kepada Ahmad Hushairi selepas majlis pengenalan pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena Liga Hoki Malaysia 2023. - Foto Bernama
Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (kiri) menyerahkan jersi pasukan TNB kepada Ahmad Hushairi selepas majlis pengenalan pasukan TNB dan TNB Thunderbolts sempena Liga Hoki Malaysia 2023. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan kejuaraan berganda dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang akan bermula pada Khamis ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, sasaran itu dilihat realistik untuk dicapai selain meletakkan cabaran kepada pasukan tersebut yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan.

"Kami akan turun untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala TNB, justeru adalah logik kami menambah sasaran lebih baik turut merangkul piala liga. Lagi pun sudah 20 tahun TNB tidak menikmati kemenangan berganda ini,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim dalam majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di Ibu Pejabat TNB, di Bangsar pada Selasa.

TNB tidak pernah gagal menyertai TNB MHL sejak diperkenalkan pada 1987 dan dua kali meraih kemenangan berganda pada musim 1991-1992 dan 2003.

Perjuangan TNB seterusnya menjadi getir apabila pasukan-pasukan bertanding dibenarkan mendapat khidmat pemain import termasuk pasukan Hoki Terengganu (THT) yang menjuarai liga musim lalu.

TNB yang kekal mengharungi cabaran dengan pemain-pemain tempatan bagaimanapun berjaya menumpaskan THT 3-2 dalam perlawanan akhir kejuaraan keseluruhan Piala TNB musim lalu.

Musim ini, TNB lebih awal berpeluang memburu kejuaraan apabila memulakan perjuangan dengan bertemu THT dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

"Tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan lain. Berbekalkan semangat Piala Dunia baru-baru ini, tidak mustahil Piala Sumbangsih boleh menjadi milik kami.

"Jika itu dapat dicapai ia juga menjadi permulaan yang baik musim ini," katanya.