Cuaca sejuk, kekurangan peralatan jejas usaha menyelamat

Anggota tentera Syria dan Rusia membantu penduduk tempatan membawa mayat mangsa ditemui di tapak bangunan runtuh selepas gempa bumi besar di Latakia, Syria. - Foto EPA
Anggota tentera Syria dan Rusia membantu penduduk tempatan membawa mayat mangsa ditemui di tapak bangunan runtuh selepas gempa bumi besar di Latakia, Syria. - Foto EPA
A
A
A

DAMSYIK - Penyelamat di Syria bergelut kesukaran dengan kekurangan peralatan menjejaskan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa susulan gempa bumi yang melanda pada Isnin.

Seorang sukarelawan White Helmet, yang hanya dikenali sebagai Mohammed berkata, SAR di Idlib dan kawasan lain yang terjejas berjalan dengan "sangat perlahan" akibat cuaca ribut dan kekurangan jentera berat.

Ketua Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, anggota penyelamat di kawasan yang dikawal kerajaan dan pembangkang tidak mempunyai peralatan dan jentera berat yang sesuai untuk mengalihkan serpihan runtuhan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Beliau berkata, banyak bangunan di 58 kampung, pekan dan bandar di Syria dilaporkan ranap atau sebahagiannya rosak, kebanyakannya berada dalam wilayah barat laut Syria termasuk Latakia, Hama dan Aleppo.

Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah kematian meningkat kepada 764 orang dengan 1,448 lagi cedera.

The White Helmets dalam ciapannya pula menyebut 92 terbunuh dan 2,082 cedera di kawasan pembangkang pada Selasa dan menambah "masa semakin suntuk."

"Beratus-ratus masih terperangkap di bawah runtuhan...Kami merayu kepada semua pertubuhan kemanusiaan dan badan antarabangsa untuk memberikan sokongan material dan bantuan kepada organisasi yang membantu dalam bencana ini."

Jurucakap UNHCR untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Rola Amin berkata: "bantuan segera diperlukan. Bukan setakat tempat perlindungan... barangan bantuan kecemasan seperti selimut, pakaian musim sejuk, barangan kebersihan."

"Ribut salji paling teruk juga melanda rantau ini dan ramai yang terpaksa tinggal di luar sepanjang malam dalam salji dan hujan serta suhu beku," katanya. - Bernama