[VIDEO] Bapa harap anak hilang di Pulau Mawar segera ditemui

Ishak (kiri) turut menyertai operasi SAR bagi mengesan anaknya di Pulau Mawar Mersing.
Ishak (kiri) turut menyertai operasi SAR bagi mengesan anaknya di Pulau Mawar Mersing.
A
A
A

MERSING - Bapa kepada pemuda yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar sejak Rabu lalu, berharap anaknya itu dapat ditemui segera.

Ishak Kamis, 58 berkata, usaha sudah dilakukan termasuk perubatan Islam di samping operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun masih gagal menemui sebarang petunjuk bagi mengesan Muhamad Akmal Hakimi, 20.

"Saya berharap Akmal yang merupakan anak bongsu dari dua beradik dapat ditemui segera dan usaha pencariannya yang masuk hari kelima pada Selasa dipermudahkan.

"Anak sulung, Mohd Mirza Khusairi, 25 dan saya turut menyertai operasi SAR sejak hari pertama pada Jumaat lalu. Saya dan keluarga reda dengan apa jua kemungkinan," katanya ketika ditemui di pusat operasi SAR di Pulau Mawar pada Selasa.

Ishak menetap di Kluang berkata, Akmal yang merupakan penuntut jurusan kejuruteraan marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Lumut Perak, cukup meminati aktiviti mendaki.

Ishak turut menyertai operasi SAR bagi mengesan anaknya di Pulau Mawar Mersing.
Ishak turut menyertai operasi SAR bagi mengesan anaknya di Pulau Mawar Mersing.

Jelasnya, Akmal sudah melalukan pendakian di beberapa lokasi sebelum ini antaranya di Grik, Gunung Datuk, Pulau Mawar dan Gunung Lambak.

"Kali terakhir saya bertemu Akmal pada malam Selasa. Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. Keesokan harinya saya dapat Akmal tiada di rumah, saya ingatkan di Gunung Lambak sebab selalu dia pergi mendaki di sana.

"Namun, dia tidak pulang pada malam hari. Saya cukup risau ketika itu dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan Akmal. Kami juga tularkan kehilangannya di Facebook.

"Tidak lama selepas itu, ada penduduk Mersing memaklumkan tentang motosikal yang dinaiki Akmal berada di Pulau Mawar," katanya.

Ishak berkata Akmal yang kini sedang cuti semester sepatutnya pulang ke universiti pada 13 Februari ini dan bercita- cita mahu menjadi jurutera kapal.

Antara lokasi mangsa dipercayai hilang. (Gambar dalam: Muhamad Akmal)
Antara lokasi mangsa dipercayai hilang. (Gambar dalam: Muhamad Akmal)

"Saya tidak pernah halang minat dia yang suka lalukan aktiviti pendakian, tetapi saya selalu nasihatkan agar dia tidak berseorangan ketika mendaki," katanya.

Sebelum itu, laporan mengenai kehilangan Muhamad Akmal dibuat bapanya di Balai Polis Kluang awal pagi Jumaat lalu, selepas pemuda itu tidak pulang ke rumahnya di Kluang sejak Rabu lalu.

Polis kemudiannya menerima laporan mengenai penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi, Jumaat lalu dan melancarkan SAR jam 5 petang, hari sama.