Gempa bumi Turkiye: Penghantaran anjing K9 bomba ditangguhkan

Pasukan Smart kini berada di Turkiye untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.
Pasukan Smart kini berada di Turkiye untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghantaran empat ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Turkiye telah ditangguhkan, pada Selasa.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penghantaran anjing K9 JBPM itu ditangguhkan kerana berdasarkan penilaian dibuat oleh komander operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kini berada di Turkiye.

"Setakat ini, penghantaran (haiwan) berkenaan ditangguhkan, ia berdasarkan kepada penilaian dibuat oleh komander operasi Pasukan Smart di Turkiye.

"Walaubagaimanapun, keadaan itu boleh berubah, ia bergantung kepada penilaian komander SMART yang berada di lapangan (lokasi kejadian)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan seramai 70 pegawai dan anggota dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah dihantar ke Turkiye bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Gempa bumi dahsyat melanda tenggara Türkiye pada awal pagi Isnin. - Foto EPA
Gempa bumi dahsyat melanda tenggara Türkiye pada awal pagi Isnin. - Foto EPA

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Menyelamat (JBPM) serta Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu dalam operasi SAR tersebut.

Gempa dengan magnitud 7.7 itu melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis pada awal pagi Isnin.

Satu lagi gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter yang berpusat di daerah Elbistan di Kahramanmaras berlaku pada 1.24 tengah hari (6.24 petang Waktu Malaysia).