Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

Mohd Faizi (dua,kiri) mewakili Mas Ermieyati ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa. (Gambar dalam : Mas Ermieyati)
Mohd Faizi (dua,kiri) mewakili Mas Ermieyati ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa. (Gambar dalam : Mas Ermieyati)
A
A
A

MELAKA - Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abdul Hakim Abdul Halim untuk membatalkan kemenangan tersebut.

Keputusan yang dibuat Hakim Datuk Anselm Fernandis menolak petisyen itu dan memerintahkan Abdul Hakim membayar kos perundangan kepada Mas Ermieyati sebagai responden.

Anselm Fernandis berkata, mahkamah menerima dua daripada empat bantahan awal yang dibangkitkan peguam plaintif, dua daripadanya mempunyai merit untuk ditolak di bawah Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selain petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 akta sama.

Mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal menjelaskan dan membuat perincian berhubung wujud unsur sokongan oleh beberapa individu yang dikaitkan dengan responden yang didakwa dilantik sebagai ejennya.

Abdul Hakim pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Mas Ermieyati diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu manakala Abdul Hakim diwakili peguam Rosfinah Rahmah.

Rosfinah yang ditemui pemberita berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari bagi membolehkan petisyen yang difailkan dibicarakan.

Pada PRU15 lalu Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dengan menewaskan empat calon lain iaitu Abdul Hakim Mutalib Uthman daripada parti MUDA dan Handrawirawan Abu Bakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).