Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART bantu misi SAR

ANWAR
ANWAR
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berlepas ke Turkiye pada malam Isnin bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam misi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan terjejas akibat gempa bumi di sana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga serta semua negara yang terjejas akibat bencana tersebut.

“Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberi kesembuhan kepada mangsa dan ketenangan yang cepat kepada yang berduka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Media pada Isnin melaporkan gempa bumi kuat berukuran 7.4 pada skala Richter dilapor melanda wilayah selatan Turkiye di Kahramanmaras jam 4.17 pagi.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan ia berpusat di daerah Pazarcik.

Gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep dilaporkan telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.