Kertas putih kesihatan dalam fasa akhir disiapkan - KKM

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni beramah mesra dengan pesakit rahang Mohamad Alfie Noo Lokman sewaktu melawat bilik rawatan selepas Grand Smile Operation Initiative 2023 di Hospital Lahad Datu. Foto Bernama.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni beramah mesra dengan pesakit rahang Mohamad Alfie Noo Lokman sewaktu melawat bilik rawatan selepas Grand Smile Operation Initiative 2023 di Hospital Lahad Datu. Foto Bernama.
A
A
A

LAHAD DATU - Kementerian Kesihatan (KKM) dalam fasa akhir menyediakan Kertas Putih Kesihatan yang membabitkan dasar asas baharu kepada sektor perkhidmatan kesihatan negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, perkara itu juga membabitkan perkhidmatan kesihatan di Sabah yang memerlukan pemerhatian serta fokus terbaik daripada kerajaan Persekutuan.

Lukanisman yang dalam lawatan kerja pertama kali ke Sabah itu turut berkata, selepas Covid-19, negara berdepan krisis perkhidmatan kesihatan dan perkara itu penting untuk diteliti.

"Kita perlu melihat semula keperluan kesihatan terutama perkhidmatan klinik daif termasuk yang memerlukan tenaga kerja ditambah. Sudah tentu maklumat atau input yang saya peroleh dalam setiap lawatan kerja akan dibawa ke pihak jawatan kerja tertinggi kementerian termasuk menteri.

"Kita juga sedia maklum penglibatan kerajaan negeri melalui kerjasama Jawatankuasa Khusus MA63 dan akan kita bincang pada esok hari bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Grand Smile Operation Initiative (GSOI) 2023 di Hospital Lahad Datu, di sini pada Isnin.

Pada 10 Januari lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, KKM menyasarkan pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Lukanisman berkata, menerusi GSOI sebanyak 58 pesakit sumbing di sini akan menjalani pembedahan bermula hari ini hingga 11 Februari, dengan 11 pakar bedah mulut, tiga pakar bius dan empat pakar kanak-kanak terbabit dalam program itu.

"Objektif utama GSOI adalah mengatasi peningkatan kes sedia ada dan memberikan pendedahan serta kesedaran kepada masyarakat berkenaan sumbing dan rawatan yang boleh dilakukan. Sumbing berlaku akibat kegagalan pembentukan bibir dan lelangit yang berlaku satu dalam 941 kelahiran," katanya.

Beliau berharap terdapat syarikat atau badan bukan kerajaan yang memiliki kewangan untuk menyumbang dan menyediakan aset diperlukan kepada pihak hospital bagi meneruskan program GSOI pada masa hadapan.- Bernama.