PRU15: SPRM disaran siasat kewangan 'luar biasa' PH, BN

Mohd Nazree
Mohd Nazree
A
A
A

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rembau menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun dan sumber perbelanjaan pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian Bersatu Rembau, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, ia susulan dakwaan blogger, Raja Petra Kamarudin menerusi videonya yang PH dan BN mempunyai kewangan luar biasa dan berbelanja secara luar biasa dalam kempen pilihan raya yang lalu.

"Beliau mendakwa BN belanja RM6 juta dan PH belanja RM10 juta satu kerusi parlimen. Ini bermakna anggaran jumlah perbelanjaan yang didakwa adalah mungkin boleh mencecah lebih daripada RM1.5 bilion.

"Justeru, Bersatu Rembau menyarankan agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak berkuasa dalam menyiasat secara telus dan adil," katanya dalam kenyataan kepada media pada Isnin.

Menurutnya, parti itu terbuka dan telah pun memberi kerjasama kepada SPRM dalam isu siasatan kononnya berlaku penyelewengan sebanyak RM600 bilion dan kemudian diturunkan menjadi RM92.5 bilion hingga menjadi RM300 juta.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar PH (DAP, PKR, Amanah) serta UMNO untuk memberi penjelasan berkaitan sumber dan akaun perbelanjaan yang dikatakan 'luar biasa' dibelanjakan sewaktu PRU15.