Belanjawan 2023: Johor mohon peruntukan lebih besar

Onn Hafiz (kiri) dan Ahmad Maslan (kanan) pada sidang akhbar Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail, pada Isnin.
Onn Hafiz (kiri) dan Ahmad Maslan (kanan) pada sidang akhbar Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail, pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Persekutuan diharap tidak memotong peruntukan Belanjawan 2023 kepada Johor, sebaliknya mempertimbangkan bajet lebih besar kepada negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukkan tersebut cukup penting untuk memacu lebih banyak aktiviti ekonomi sekali gus membantu rakyat.

"Tahun ini dijangka tahun yang mencabar bukan sahaja kepada ekonomi dan rakyat negara ini malah seluruh dunia.

"Pada masa sama, saya nak syorkan tahun ini bukan tahun mengejar 'a positive budget'. Saya minta maaf. Tahun ini dijangka tahun sukar dengan kemelesetan ekonomi dijangka fi seluruh dunia akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

"Ada implikasi ekonomi kepada negara. Harga barang sedang naik. Syor saya, langkah untuk mendapat sebuah belanjawan yang positif tahun ini kita tunggu dahulu, tahun depan mungkin tahun yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Onn Hafiz ketika sidang media berkata, sekiranya Belanjawan 2023 dikecilkan berbanding belanjawan yang pernah dibentangkan dahulu, ia akan memberi kesan kepada negeri terutamanya Johor.

"Johor bimbang sekiranya bajet dipotong dan menjadi kurang berbanding sebelumnya. Jika itu berlaku, akan ada 'kesan domino' (domino effect) kepada pembangunan di bawah. Ini kerana ada banyak perkara yang diminta Johor termasuk pembangunan rakyat.

"Hampir 11 perkara yang diminta, jadi kita berharap permohonan itu boleh dipertimbangkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata, antara projek utama yang menjadi fokus Johor ialah penambahan enam daripada empat lorong bagi laluan Yong Peng-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan, pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, projek tebatan banjir dan menaik taraf sekolah-sekolah di negeri ini.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan usaha untuk mengatasi kesesakan sempadan Johor-Singapura diatasi.