Potensi Kuala Perlis jadi hab sukan permotoran

Pertandingan 4X4 di Pulau Ketam baru-baru ini. - Foto FB Jabatan Belia dan Sukan Negara
Pertandingan 4X4 di Pulau Ketam baru-baru ini. - Foto FB Jabatan Belia dan Sukan Negara
A
A
A

DAERAH Kuala Perlis bakal dibangunkan sebagai hab sukan permotoran dan destinasi pelancongan sukan lasak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan yang ingin memberi galakan kepada anak muda untuk terlibat dalam sukan itu.

“Kita mempelawa mana-mana penganjur yang berminat memilih Kuala Perlis sebagai tapak penganjuran sukan permotoran kerana kita ingin tarik lebih ramai pengunjung ke sini.

“Penganjuran sukan itu juga mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat yang sebahagian besarnya terdiri daripada keluarga nelayan,” katanya di Kuala Perlis pada Isnin.

Menurut Abu Bakar kerajaan negeri juga bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadikan Kuala Perlis sebagai hab sukan permotoran dan destinasi pelancongan sukan lasak sekali gus menyediakan tempat bagi membantu penganjur.

Beliau berkata setakat ini sambutan yang diterima daripada penganjur amat menggalakkan selepas Pertandingan 4X4 di Pulau Ketam pada 4 Februari lalu.

“Selepas ini akan ada satu lagi kejohanan sukan permotoran iaitu kejohanan motocross pada Mac ini.

“Penduduk Kuala Perlis mula berminat dengan sukan ini dan Insya-ALLAH saya berharap pada masa akan datang kita dapat mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya. - Bernama