Skuad projek lelaki negara teruja singkap MHL 2023

Muhamad Amin bersama skuad projek negara ketika siri jelajah di Perth baru-baru ini.
Muhamad Amin bersama skuad projek negara ketika siri jelajah di Perth baru-baru ini.
A
A
A

SKUAD projek lelaki negara tekad menjadikan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 yang bermula 9 Februari ini, pentas meraih pengalaman sebelum menghadapi kempen Piala Dunia Remaja 2023 pada Disember depan.

Pengendalinya, Muhamad Amin Rahim berkata, barisan 20 pemain yang menamatkan siri jelajah di Australia cukup teruja membuktikan keupayaan Young Tigers pada saingan MHL kali ini.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen dalam kalangan setiap pemain sepanjang siri jelajah di Perth baru-baru ini.

“Semua pemain telah diberikan peluang beraksi dalam enam perlawanan di sana dan mereka memanfaatkan peluang berdepan lawan yang fizikal dan stamina jauh berbeza.

“Walaupun saya berpuas hati, masih terdapat beberapa elemen penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan pasukan lebih kompetitif sebelum Piala Dunia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Malaysia mengakhiri siri jelajah selama dua minggu di Perth dengan rekod lima kemenangan daripada enam aksi persahabatan.

Dalam pada itu, Muhamad Amin berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam pemilihan pemain untuk saingan MHL 2023 yang dijangka disertai 14 pasukan.

Beliau menegaskan, setiap pemain perlu membuktikan keupayaan masing-masing bagi membolehkan mereka terpilih dalam setiap perlawanan.

“Format pertandingan membenarkan pendaftaran 22 pemain. Kami akan bawa 20 pemain, namun hanya 18 pemain didaftar sebelum setiap perlawanan.

“Jadi saya mahu para pemain menggunakan peluang bersaing secara sihat untuk merebut slot sebelum hari perlawanan,” ujarnya.