[VIDEO] Polis kesan pemandu lori cuba rempuh orang awam

Tangkap layar video orang awam memarahi tindakan pemandu lori terbabit
Tangkap layar video orang awam memarahi tindakan pemandu lori terbabit
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mengesan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam yang sedang minum di luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3 di sini berdasarkan maklumat daripada sebuah video tular.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden tersebut, namun meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pihak berkuasa.

"Hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Kerapu Taman Permai 3 di sini namun tarikh dan waktu kejadian masih dalam siasatan.

"Polis dalam usaha mengenal pasti suspek dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 1.03 minit itu tular memaparkan suspek lelaki secara tiba-tiba mengundurkan lori dipandu secara melulu ke arah kerusi dan meja makan di situ sehingga mengejutkan beberapa pelanggan.

Tindakan lelaki terbabit telah mengundang marah orang awam yang kemudian mengarahkannya untuk beredar.