Thaipusam ciri unik kepelbagaian budaya, kepercayaan - Pas

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan perayaan Thaipusam yang disambut adalah salah satu daripada ciri unik kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai perayaan kedua terpenting bagi penganut agama Hindu di negara ini selepas Deepavali, ia mempunyai tarikan tersendiri terutamanya kepada pelancong asing.

"Pas mengucapkan selamat sejahtera dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam hari ini dan esok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, Pas berharap perayaan ini akan berjalan dalam suasana harmoni, lancar dan yang paling utama selamat kepada semua pihak tanpa apa-apa insiden tidak diingini serta membahayakan baik dalam kalangan peserta mahupun khalayak awam.

"Semoga semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada kebaikan bersama semua rakyat dan negara kita," katanya.