6 lelaki termasuk remaja ditahan curi lembu

Barangan dirampas daripada suspek yang digunakan untuk mencuri haiwan ternakan di Negeri Sembilan dan Pahang.
Barangan dirampas daripada suspek yang digunakan untuk mencuri haiwan ternakan di Negeri Sembilan dan Pahang.
A
A
A

NILAI - Polis berjaya menumpaskan 'geng curi lembu' dengan tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang remaja bawah umur di Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, ia susulan laporan polis diterima pada 2 Februari lalu daripada seorang penternak lembu dan kerbau berusia 38 tahun yang memberitahu terserempak dengan suspek yang disyaki cuba mencuri haiwan ternakannya di Labu di sini.

"Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan mencuri.

"Hasil maklumat awam, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 34 tahun itu ditahan di Maran dan Jerantut, Pahang," katanya dalam kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga batang paip besi yang telah diubah suai, tujuh picagari, alat renjatan elektrik, cecair disyaki pelali dan beberapa peralatan curi haiwan ternakan.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kumpulan itu bukan saja terlibat dalam beberapa kes curi haiwan ternakan di Negeri Sembilan tetapi juga di Pahang yang melibatkan kerugian dianggarkan RM72,000.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya telah menyelesaikan empat kes curi haiwan ternakan iaitu dua kes di Nilai, satu kes masing-masing di Jerantut dan Kuala Lipis, Pahang.

"Kesemua suspek telah direman tiga hari bermula pada Ahad hingga Selasa," katanya.