Remaja maut, rakan tidak sedarkan diri

Kemalangan berlaku di Kampung Pemberian, Kuala Krai pada Sabtu. -Foto: Ihsan pembaca
Kemalangan berlaku di Kampung Pemberian, Kuala Krai pada Sabtu. -Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang remaja maut manakala rakannya tidak sedarkan diri selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira di Kampung Pemberian di sini pada Sabtu.

Mohamad Akmal Aiman Abdullah, 19, yang merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Muhamad Radzhan Madzlin, 15, dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, hasil maklumat awal, pada jam 9.30 malam kereta yang dipandu oleh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 48 tahun itu dari Kampung Pemberian dalam perjalanan pulang ke rumah di Perumahan Banjir Manjor.

"Apabila sampai di simpang, pemandu OKU terbabit hendak masuk ke kanan, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat dari arah tepi sebelah kiri keretanya.

"Dia mendapati keretanya telah di langgar oleh motosikal dinaiki dua remaja terbabit yang datang dari arah laluan sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, semasa kejadian keadaan di kawasan kemalangan itu gelap dan tiada lampu jalan.

Ujarnya, siasatan berhubung kes tersebut masih dijalankan.