Siti batal persembahan, Aafiyah jalani pembedahan

Tangkap layar video dikongsikan Siti melalui Instagramnya sebelum Aafiyah jalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota pada Ahad.
Tangkap layar video dikongsikan Siti melalui Instagramnya sebelum Aafiyah jalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak sulung kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah Khalid, 4, selamat menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota, pada Ahad.

Menerusi hantaran di Instagram Stories, Siti memaklumkan Aafiyah terpaksa menjalani pembedahan kecil kerana mengalami kemalangan ketika terjatuh dari skuter.

"Malang tak berbau, anak ibu jatuh skuter kena masuk OT (bilik pembedahan). Doakan semoga ALLAH SWT permudahkan," tulisnya.

Siti turut berkongsikan hantaran video di IG memaparkan beliau sedang memujuk Aafiyah sebelum menjalani pembedahan tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada doktor selepas proses pembedahan selesai dengan baik dan lancar.

"Alhamdulillah, proses di OT berjalan lancar. Terima kasih doktor pakar di hospital. Insya-ALLAH, Aafiyah segera sembuh ya. Amin Ya Rabb.

"Video ini ayah ambilkan sebelum Aafiyah masuk OT. Tengah pujuk Aafiyah," tulisnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Siti juga memohon maaf kepada semua pihak kerana terpaksa membatalkan persembahan yang dijadualkan pada saat akhir susulan insiden membabitkan anaknya.

"Minta maaf pada pelanggan, saya terpaksa batalkan persembahan pada saat akhir kerana kemalangan yang menimpa anak saya.

"Doakan semoga semuanya dipermudahkan," katanya.

Selain itu, Siti turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah termasuk rakan-rakan artis serta peminat yang mendoakan kesembuhan buat Aafiyah.

"Menjunjung kasih kepada Tuanku Permaisuri yang bertanya khabar dan mendoakan kesembuhan Aafiyah.

"Terima kasih juga buat yang mendoakan kesihatan buat Aafiyah. Insya-ALLAH, Aafiyah cepat sembuh dari kemalangan kecil ini. Amin Ya Rabb," ujarnya.