Lebih 10 tahun redah perjalanan 5km untuk solat Jumaat

Zahir (tengah) menunjukkan tapak masjid Kariah Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah.
Zahir (tengah) menunjukkan tapak masjid Kariah Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 1,000 anak kariah Bandar Mutiara di sini terpaksa ke beberapa taman perumahan lain bagi mendirikan solat Jumaat memandangkan masih belum mempunyai masjid biarpun telah menetap di situ lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara, Zahir Said berkata, disebabkan masjid belum dapat dibina, anak kariah terpaksa memilih antara masjid di Bandar Puteri Jaya, Taman Kelisa Ria dan Jalan Kuala Ketil untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, setiap masjid itu juga mempunyai kariah tersendiri dan kepadatan penduduk yang tinggi, namun terpaksa menumpang sehinggalah masjid baharu dibina.

"Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya sendiri mempunyai bilangan anak kariah yang ramai, begitu juga dengan Masjid Kariah Kelisa Ria yang kini sedang dinaik taraf kerana tidak dapat lagi menampung jumlah pengunjung yang ramai.

"Sama juga seperti Masjid Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Jalan Kuala Ketil yang sudahpun mempunyai kariah tersendiri serta sentiasa padat.

Tapak untuk mendirikan masjid sudah tersedia namun dana yang diperlukan belum mencukupi.
Tapak untuk mendirikan masjid sudah tersedia namun dana yang diperlukan belum mencukupi.

"Kami amat berharap agar masjid kami di Bandar Mutiara ini dapat dibina selewat-lewatnya hujung tahun ini demi keselesaan anak kariah serta tidak perlu lagi berdepan perjalanan jauh lebih lima kilometer untuk ke semua masjid tersebut," katanya.

Jelasnya, kebanyakan penduduk menetap di kawasan itu lebih 10 tahun lalu, sejak projek perumahan itu mula siap pada 2006 dan tapak masjid juga tersedia serta telah mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Tambahan pula, dengan terbinanya masjid dengan kos anggaran RM6 juta itu, proses pengurusan jenazah melibatkan anak kariah dapat dilaksanakan lebih sempurna dan tertutup memandangkan Surau Al-Banna sedia ada agak sempit untuk tujuan itu.

Zahir berkata, kariah Bandar Mutiara yang ditetapkan turut melibatkan beberapa kawasan perumahan lain antaranya SP Heights yang sudah diduduki dan Yarra Park yang kini bakal melibatkan pertambahan penduduk.

"Dengan adanya masjid, sudah pasti lebih selesa dan memudahkan program keagamaan dan pendidikan dianjurkan melibatkan penduduk di ketiga-tiga kawasan," katanya.

Beliau menjelaskan, pembinaan masjid nanti akan turut dilengkapi pejabat, bilik mesyuarat, medan selera, bilik pengurusan jenazah dan ruang solat yang boleh menempatkan 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Setakat ini katanya, kutipan baharu sahaja mencecah RM170,000 dan masih banyak sumbangan diperlukan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam atas nama Jawatankuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara Kedah bernombor 0202-001-008-3756.