'Elak berulang episod duka'

Lam Thye. (Gambar dalam : Aspek keselamatan perlu diutamakan bagi mengelak berulangnya episod duka punca daripada pembakaran dan penyimpanan mercun yang menghasilkan letupan kuat dan membahayakan manusia.)
Lam Thye. (Gambar dalam : Aspek keselamatan perlu diutamakan bagi mengelak berulangnya episod duka punca daripada pembakaran dan penyimpanan mercun yang menghasilkan letupan kuat dan membahayakan manusia.)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengeluarkan satu garis panduan penjualan mercun dan bunga api secara menyeluruh yang merangkumi aspek penyimpanan serta peraturan bermain agar insiden buruk akibat bahan letupan itu dapat dikurangkan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia demi menjamin keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak susulan keputusan kerajaan menarik balik larangan penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak tahun 1995.

“Secara prinsip, saya tidak membantah keputusan kerajaan kerana permainan mercun dan bunga api adalah tradisi serta budaya di negara ini setiap kali perayaan. Ia bukan hanya ketika Tahun Baharu Cina tetapi juga semasa Deepavali dan Aidilfitri.

“Jadi garis panduan yang ingin dikeluarkan mesti melihat semua aspek iaitu perlu ditentukan had umur pembeli, had waktu bermain agar tidak mengganggu orang lain dan tempat penyimpanan mercun serta bunga api itu sendiri perlulah selamat," katanya kepada Sinar Ahad.

Media pada Jumaat, melaporkan kerajaan bakal menghalalkan penjualan mercun dan bunga api kerana ia boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelak.

Lam Thye menjelaskan, aspek keselamatan perlu diutamakan dalam apa juga situasi kerana tidak mahu berulangnya episod duka dan pilu berpunca daripada pembakaran dan penyimpanan mercun terutama bagi mercun dari jenis yang menghasilkan letupan kuat dan mendatangkan bahaya lebih besar kepada manusia.

“Perlu ditentukan had umur individu yang layak membeli mercun dan ketika bermain pula, jika ia melibatkan kanak-kanak, seharusnya di bawah pemantauan ibu bapa.“Penggunaan mercun pula perlu secara bertanggungjawab iaitu tidak boleh bermain di waktu awal pagi hingga mengganggu tidur jiran tetangga dengan bunyi bising. Semua perkara ini perlu dipertimbangkan kerajaan,” ujarnya. SHAH ALAM