Banjir: Bomba selamatkan dua keluarga di asrama tahfiz

Anggota bomba menyelamatkan 19 mangsa banjir di asrama tahfiz Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Sabtu.
Anggota bomba menyelamatkan 19 mangsa banjir di asrama tahfiz Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Bomba menyelamatkan 19 mangsa melibatkan dua keluarga yang terperangkap dalam banjir di sebuah asrama tahfiz di Kampung Baru Sungai Mas di sini pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membantu memindahkan mangsa banjir tersebut pada jam 3.59 petang.

Susulan itu katanya, sembilan anggota diketuai Komander Operasi BBP Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Izwani Abd Hamid dengan sebuah jentera Fiore Rescue Tender (FRT) dan satu utiliti dihantar ke tempat kejadian.

Seorang daripada kanak-kanak yang diselamatkan anggota bomba di asrama tahfiz di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Sabtu.
Seorang daripada kanak-kanak yang diselamatkan anggota bomba di asrama tahfiz di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi pada Sabtu.

"Kita dapati terdapat dua keluarga di sebuah asrama tahfiz terperangkap dalam banjir. Mangsa terdiri daripada tenaga pengajar bersama ahli keluarga masing-masing di pusat tahfiz tersebut.

"Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, lima wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Mereka dipindahkan ke surau berdekatan dewan Kampung Baru Sungai Mas," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, operasi memindahkan semua mangsa banjir berkenaan tamat pada jam 6.29 petang.