Guna lakaran kartun terangkan formula Matematik

Mohd Nazaruddin bersama buku komik berjudul ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’.
Mohd Nazaruddin bersama buku komik berjudul ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesukaran pelajar menguasai subjek Matematik menjadi pencetus utama kepada penulis, Mohd Nazaruddin Yusoff atau lebih dikenali sebagai Kipas Hikmat untuk menghasilkan buku komik berjudul ‘Fuiyoo Senangnya Matematik’.

Selain Matematik, beliau turut mengarang buku dengan gaya yang sama bagi subjek lain seperti Sains, Biologi, Kimia dan Fizik.

Menurut beliau, buku tersebut mengandungi pelbagai formula mudah yang digarap secara santai dengan dilengkapi lakaran kartun agar ia mudah difahami.

Mohd Nazaruddin berkata, ia bertujuan mengubah persepsi segelintir pelajar yang beranggapan Matematik adalah mata pelajaran sukar untuk dikuasai.

“Masa saya mengajar di sekolah dahulu, terlintas di kepala saya untuk menggunakan teknik lukisan dengan menggabungkan beberapa formula, daripada kaedah yang diguna pakai itulah, pelajar mula memahaminya dengan baik.

“Matematik ini satu subjek yang serius dan ramai orang beranggapan sebegitu, tapi sebenarnya ia akan menjadi santai sekiranya digabungkan dengan seni-seni lukisan.

“Saya juga lihat di negara luar seperti Jepun, mereka menggunakan komik kartun sebagai medium pendidikan kepada pelajar, kalaulah negara yang maju pun buat macam itu, kenapa tidak kita,” katanya ketika mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Sabtu.

Jualan Gudang Karangkraf 2023 kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan dengan penawaran diskaun sehingga 80 peratus.

Ia diadakan pada 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Dalam pada itu, Mohd Nazaruddin berharap, usahanya itu sedikit sebanyak dapat membawa perubahan dalam perkembangan arus pendidikan di negara ini.

“Saya tak minta publisiti atas usaha saya ini, apa yang saya mahu lihat, semoga penguasaan subjek Matematik dalam kalangan pelajar di sekolah semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya.